ALOR SETAR – Tempoh reman terhadap seorang ejen hartanah yang disyaki menikam kenalan wanitanya di dalam kereta di Titi Gajah, Kepala Batas di sini Ahad lalu disambung empat hari lagi.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, tempoh reman suspek yang berakhir hari ini disambung sehingga Rabu ini.
Reman dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.
Kata beliau, mangsa berusia 35 tahun yang mengalami kecederaan parah akibat ditikam sehingga tembus dari bahagian kiri ke kanan leher dilaporkan sudah sedar dan dalam keadaan stabil.
Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita yang merupakan ibu tunggal dua anak cedera parah pada leher akibat ditikam seorang kenalan lelaki di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah kira-kira pukul 9.19 malam, Ahad lalu.
Kejadian tikam itu berlaku di dalam sebuah kereta jenis Mazda dengan mangsa berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.
Suspek dan mangsa dikatakan saling mengenali sejak lebih setahun lalu kerana mereka masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah.
Motif kejadian dipercayai akibat perasaan cemburu atau cinta tidak berbalas.
Sebilah pisau rambo yang disyaki digunakan dalam kejadian itu berjaya dijumpai polis di kawasan sawah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian setelah dipandu arah oleh suspek sendiri. – KOSMO! ONLINE














