KUALA LUMPUR – Hasrat untuk melihat dua beregu negara bersaing di final acara beregu lelaki tidak kesampaian selepas Arif Junaidi-Yap Roy King tewas kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Bagaimanapun Arif-Roy King tetap mampu memberikan cabaran buat Lundgaard-Vestergaard sebelum tewas 19-21, 17-21.
Ini juga adalah kemenangan sulung Lundgaard-Vestergaard ke atas Arif-Roy King dalam lima pertemuan.
“Saya rasa set pertama itu kami agak tegang terutama pada 11 mata pertama.
“Selepas itu keadaan semakin baik, cuma pada set kedua banyak serangan kami tidak menjadi dan tenaga pun makin berkurang,” kata Roy King.
Harapan Malaysia kini terletak sepenuhnya kepada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dalam misi Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan dalam acara itu.
Terdahulu, Sze Fei-Nur Izzuddin menyingkirkan naib juara edisi lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-18, 21-12. – KOSMO! ONLINE














