DUNIA fesyen tempatan kini semakin rancak dengan kemunculan bakat baharu yang berani menampilkan idea luar biasa.
Pereka muda ini membawa pendekatan segar menerusi koleksi berkonsep seperti seni boleh pakai atau wearable art, yang membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar helaian pakaian tetapi medium kreativiti.
Antara yang mencuri perhatian ialah Muhammad Nazrin Adani Nazriza, 24, yang mengetengahkan pendekatan seni boleh pakai menerusi koleksi eksperimental bertajuk Tableau Three.
Menurut Muhammad Nazrin, koleksi ini membuktikan fesyen bukan sekadar pakaian, sebaliknya medium penceritaan yang menggabungkan emosi, seni visual dan ekspresi identiti.
“Apa yang menjadikan koleksi ini menarik ialah saya mengambil tema season-fall winter 26 ‘Chaos vs Order’, satu konsep yang menggambarkan pertentangan antara kekacauan dan keteraturan.
“Setiap individu memiliki kekacauan tersendiri, sama ada dalam bentuk emosi, tekanan, pengalaman hidup mahupun idea yang berselerak. Namun, di sebalik kekacauan itu tersimpan potensi untuk melahirkan sesuatu yang indah apabila diterjemahkan secara kreatif,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, mesej ini menjadi asas utama keseluruhan koleksi, menjadikan setiap helaian pakaian bukan sekadar rekaan tetapi refleksi perjalanan batin seseorang.
Perjalanan Muhammad Nazrin dalam dunia fesyen bermula pada tahun 2020 apabila dia menyambung pengajian Diploma Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi Mara, sebelum menimba pengalaman bekerja dengan beberapa pereka dan penata gaji tempatan.
Tempoh itu menjadi ruang penting untuk Muhammad Nazrin memahami selok-belok industri, dari pembinaan identiti jenama hinggalah pengurusan produksi.
Malah, dia turut menubuhkan label sendiri dikenali sebagai NAZRAF, sebelum menangguhkannya bagi menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen di kampus Shah Alam.

Mengulas lanjut mengenai koleksi ini, Muhammad Nazrin berkata, inspirasi utamanya datang daripada karya ikonik Full Fathom Five oleh Jackson Pollock, pelukis ekspresionis abstrak terkenal yang terkenal dengan teknik percikan cat spontan.
Katanya lagi, karya tersebut memperlihatkan bagaimana unsur rawak boleh membentuk komposisi yang tersusun, sesuatu yang sangat dekat dengan proses rekaan fesyen.
“Saya melihat persamaan antara seni lukisan dan fesyen, idea yang asalnya tidak tersusun mampu menjadi sebuah karya lengkap apabila diolah dengan disiplin dan pemahaman estetik.
“Terjemahan tema ini dapat dilihat pada permukaan fabrik yang dilukis tangan menggunakan pelbagai teknik seperti menitis, percikan dan impasto.
“Setiap helaian fabrik dibina secara manual, bermula dengan lapisan asas tiga warna akrilik sebelum ditambah tekstur menggunakan bahan seperti ‘pembalut’ yang diolah semula,” ujarnya.
Kongsinya lagi, bagi menghasilkan dimensi visual yang lebih kaya, dia menggunakan lebih 10 warna bersama campuran medium seperti cat akrilik, gam PVC dan pes tekstur.
Hasilnya, fabrik yang dihasilkan mempunyai permukaan hampir menyerupai kanvas seni, bertekstur, kasar dan penuh karakter.
Namun, elemen kekacauan ini diseimbangkan dengan siluet yang berstruktur. Setiap rekaan menampilkan bentuk dramatik, arca dan bersifat seni bina.
Muhammad Nazrin berkata, salah satu kekuatan koleksi Tableau Three ialah fleksibilitinya. Walaupun berada dalam kategori wearable art, setiap helaian masih praktikal.
Jelasnya, rekaan ini boleh dipadankan dengan pakaian asas seperti skirt mermaid atau seluar sut hitam, menjadikannya sesuai untuk pelbagai gaya peribadi. Sasaran koleksi ini bukan pasaran massa, sebaliknya golongan yang melihat fesyen sebagai seni. Ia sesuai untuk artis, selebriti, editor fesyen, penata gaya, galeri seni atau produksi visual yang memerlukan pakaian beridentiti kuat.
Baginya, koleksi ini juga menjadi proses memahami dirinya sebagai pereka. Dia menyedari bahawa tekanan, emosi dan pengalaman peribadi bukan kelemahan, sebaliknya sumber ilham yang tulen.














