ALOR GAJAH – Tindakan seorang lelaki membuat pusingan U secara mengejut bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) memakan diri apabila dia ditahan polis dan dicekup membawa 33 liter air ketum di Jalan Pekan Brisu di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an yang memandu Proton Wira ditahan sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, tindakan suspek dikesan anggota bertugas selepas kenderaan terbabit yang datang dari arah Lubok China tiba-tiba membuat pusingan U sebaik menghampiri lokasi pemeriksaan.
“Anggota kemudian mengekori kenderaan itu sebelum mengarahkannya berhenti di Pekan Brisu dan pemeriksaan awal terhadap pemandu tidak menemukan sebarang perkara mencurigakan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di bahagian bonet kereta menemukan 33 bungkusan plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran keseluruhan sebanyak 33 liter,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, lelaki terbabit terus ditahan dan dimaklumkan mengenai tangkapan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Katanya, suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke pejabat Trafik Alor Gajah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk tindakan lanjut.
“Kenderaan digunakan suspek turut ditahan dan disita bagi tujuan siasatan. Hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas lelaki itu bagaimanapun didapati negatif dadah,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














