fbpx
CHUAN HUAT (tiga dari kanan) menunjukkan antara bahan kimia yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

Datuk dalang sindiket proses dadah, cecair vape RM16.40 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Taktik sindiket menjadikan rumah kedai di Taman Melawati, Skudai sebagai makmal memproses dadah dan menghasilkan cecair vape mengandungi bahan terlarang terbongkar menerusi tiga serbuan pada Ahad lalu.

Dalam operasi bermula pukul 5.30 petang itu, pihak polis memberkas empat lelaki termasuk dua warga asing berusia 27 hingga 60 tahun.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek berusia 60 tahun dipercayai menjadi ‘mastermind’ dan membiayai operasi sindiket tersebut.

“Dua suspek asing berperanan sebagai ahli kimia yang memproses bahan kimia untuk dijadikan dadah. Seorang lagi suspek tempatan bertindak sebagai ‘runner’,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Chuan Huat berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah kedai di Taman Melawati dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.

Polis merampas sebanyak 17 tong mengandungi cecair dipercayai methamphetamine seberat 91.28 liter bernilai RM13.69 juta.

Turut dirampas plastik lutsinar mengandungi prekursor etomidate seberat 6.15 kilogram (kg) bernilai RM922,800, pelbagai mesin dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah.

Polis kemudian ,emuerbu sebuah rumah kedai di Taman Ungku Tun Aminah yang dijadikan pusat pemprosesan katrij vape mengandungi dadah yang juga tempat tinggal tiga suspek terbabit.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam premis itu menjumpai enam botol plastik dan 32 katrij mengandungi cecair methamphetamine seberat 3.48 liter bernilai RM522,000.

“Turut dirampas sembilan bekas mengandungi prekursor etomidate seberat 8.46 kg bernilai RM1.27 juta, dua mesin, pelbagai peralatan dan bahan kimia untuk menghasilkan cecair vape,” ujarnya.

Serbuan ketiga pula dilakukan di Taman Mutiara Mas dan menahan seorang lagi lelaki tempatan, namun tiada barangn ditemukan di premis berkenaan.

Keseluruhan rampasan membabitkan 94.76 liter cecair methamphetamine dan 14.61kg etomidate bernilai RM16.40 juta. Ia mampu merosakkan lebih 120,000 penagih dadah.

Polis menyita kereta Honda Accord, Mercedes-Benz dan Volkswagen Passat serta wang tunai berjumlah RM182,187, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM16.58 juta.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN