fbpx
HISHAMUDDIN

Pinjam RM80,000, dimanipulasi ‘overlap’ sehingga RM4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga syarikat perdagangan am di sini mendakwa kerugian hampir RM4 juta selepas terjerat dengan sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen yang menggunakan taktik pinjaman berangkai atau ‘overlap’.

Setiausaha Agung Malaysian Humanitarian Organization (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa pada awalnya diperkenalkan kepada pemberi pinjam wang haram oleh seorang konsultan bank sebelum membuat pinjaman asal sebanyak RM100,000.

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya menerima wang tunai sekitar RM80,000 selepas pelbagai potongan dibuat.

“Mangsa kemudian dimanipulasi dengan pinjaman berangkai sehingga jumlah tuntutan meningkat kepada RM4 juta walaupun pinjaman sebenar hanya RM80,000.

“Setakat ini dia sudah membayar RM1.2 juta secara tunai selain menyerahkan sebuah rumah bernilai RM1.6 juta kepada along terbabit,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, walaupun pembayaran besar telah dibuat, sindiket tersebut masih menuntut baki RM485,000 daripada mangsa.

Katanya, tindakan along semakin melampau apabila nama mangsa disekat dalam sistem perbankan selain premis perniagaannya turut diganggu individu dipercayai ‘debt collector’.

“Mereka datang ke premis perniagaan buat ugutan dan gangguan secara terbuka. Rakaman video kejadian juga ada, tetapi sehingga hari ini tiada tangkapan dibuat,” katanya.

Hishamuddin berkata, tindakan pemberi pinjam wang atau ejen kutipan hutang melakukan ugutan dan gangguan sebenarnya merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Undang-undang jelas menyatakan mana-mana pemberi pinjam atau ejen mereka tidak boleh mengganggu peminjam, keluarga atau pergi ke rumah serta premis perniagaan untuk membuat ugutan.

“Tetapi sekarang budaya gangguan ‘debt collector’ seolah-olah sudah jadi norma baharu,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa tindakan penguatkuasaan masih lemah sedangkan bukti rakaman video gangguan telah dikemukakan.

“Kita negara ada undang-undang. Kalau hutang sekalipun, tindakan perlu dibuat melalui mahkamah, bukan hantar ‘debt collector’ untuk buat gangguan dan ancaman,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN