PETALING JAYA – Dua rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 ke Gaza didakwa berdepan keganasan ketika berada dalam tahanan Israel selepas kapal dinaiki mereka dipintas baru-baru ini.
Seorang peserta misi, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman menerusi hantaran di Threads berkongsi pengalaman mendebarkan melibatkan seorang doktor sukarelawan Malaysia, Dr. Norliyana Farhan Daud yang berdepan ancaman askar Israel ketika cuba membantu tahanan yang cedera.
Menurut Ahmad Musa, kejadian berlaku di atas ‘penjara kapal’ apabila seorang tahanan wanita ditembak menggunakan peluru getah pada bahagian paha hanya kerana dipercayai bertepuk tangan.
Katanya, Dr. Liyana kemudian cuba membantu dan memapah mangsa keluar untuk menerima rawatan, namun tindakan itu dihalang tentera Israel.
“Saya saksi betapa beraninya Dr. Liyana papah salah seorang tahanan yang ditembak di atas penjara kapal menggunakan peluru getah di paha hanya sebab tepuk tangan. Dr. Liyana cuba bawa dia keluar untuk rawat, tapi askar pisahkan dan hanya perempuan itu dibenarkan keluar.
“Dr. Liyana marah sampai gigil dan terus pandang pada penembak di atas. Sampai penembak tu halakan muncung senapang ke arah doktor pula. Tapi doktor tenang je. Saya pulak cuak masa itu,” katanya hari ini.
Tambah Ahmad Musa, Dr. Liyana dengan berani mengherdik serta menunding jari ke arah tentera berkenaan sebagai tanda protes.
“Dengan tangan genggam sebab geram. Cuak tengok. Saya yang berdiri sebelah risau kalau tak kena doktor, kena saya kalau askar tu tembak. Dia (tentera Israel) tetap halakan muncung senapang ke arah doktor. Lama juga dan doktor dengan berani tunjuk-tunjuk dekat askar itu sambil sebut ‘kau kan yang tembak’. Syukur la dia tak tembak pun doktor,” jelasnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menyifatkan tindakan Dr. Liyana sebagai berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa demi membantu mangsa.
“Ya Allah! Saya dapat bayangkan macam mana reaksi dia masa itu. Dengan mata kecik dia tu untuk menakutkan askar ‘sewel’ (Israel). Syukur lah masih hidup adik saya itu ya. Tak sabar nak tunggu dia balik cerita pengalaman di sana,” kongsi @izyntfarhandaud.
“Orang muka tenang, dan nampak tenang ini selalunya lebih berbisa, kalau marah boleh sampai gigil,” kata @mey_mayq7.
Sementara itu, seorang lagi peserta misi dari Malaysia, Razman Mat Ali dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas didakwa ditumbuk ketika berada dalam tahanan di Ashdod.
Perkara itu dikongsikan isterinya, Afifah Yusof menerusi Facebook yang memaklumkan Razman kini menjalani pembedahan paru-paru di Turki akibat kecederaan dialami.
“Doakan buat Razman Mat Ali sekarang yang sedang menjalani pembedahan paru-paru akibat ditumbuk oleh Israel ketika di Ashdod.
“Akan ambil sedikit masa untuk sembuh dan mungkin ditahan wad sehingga seminggu di Turkiye. Semoga pembedahan berjalan dengan lancar dan cepat sembuh,” katanya.
Dr. Norliyana dan Razman merupakan antara 29 rakyat Malaysia yang berani memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin dengan mengikuti pelayaran GSF 2.0 selama lebih sebulam sebelum kesemua mereka terpaksa akur setelag ditahan Israel.
Terdahulu, seramai lebih 400 peserta misi GSF dan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dilaporkan diculik selain ada diantara mereka mengalami keganasan fizikal termasuk dipukul, diserang menggunakan renjatan elektrik serta layanan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis sewaktu berada di ‘penjara kapal’ sebelum dibebaskan selepas hampir tiga hari di bawah tahanan. – KOSMO! ONLINE














