PETALING JAYA – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan hasrat China untuk meningkatkan import serta memperluaskan pembelian produk Malaysia.
Beliau berkata, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, mencerminkan kekuatan hubungan ekonomi yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Malaysia kekal komited dalam menyediakan persekitaran yang stabil, kondusif dan boleh dijangka untuk pelaburan China, sambil memastikan pelaburan tersebut turut memperkukuh pembangunan syarikat dan industri tempatan.
“Usaha memudah cara perdagangan dan pelaburan perlu memberi manfaat bersama agar perusahaan di kedua-dua negara dapat terus berkembang dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan, hari ini sempena lawatan kerja ke Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan APEC (MRT) di Suzhou, China.
Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak turut membincangkan hubungan ekonomi Malaysia–China yang terus berkembang dan semakin strategik.
“Kami membincangkan peningkatan aktiviti ekonomi merangkumi perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri, termasuk dalam sektor pembuatan, automotif, pertanian serta produk berkaitan perlombongan.
“Usaha memudah cara perdagangan dan pelaburan perlu memberi manfaat bersama agar perusahaan di kedua-dua negara dapat terus berkembang dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi serantau,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














