BALING – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 13 pertuduhan menggunakan nombor kad pengenalan (MyKad) milik tiga individu untuk membeli petrol RON95 pada Mac dan bulan lalu.
Tertuduh, Azman Aziz, 53, dari Perak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Lelaki itu didakwa berpura-pura menjadi tiga individu lain berusia 23, 25, dan 57 tahun dengan menggunakan nombor kad pengenalan milik mereka untuk membeli petrol bersubsidi di bawah Budi Madani RON95 (Budi95) berjumlah 594.459 liter.
Perbuatan itu menyebabkan tiga individu terbabit mengalami kerugian kuota subsidi bulanan. Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Padang Lengkuas, di sini antara 18 Mac dan 23 April lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 419 kanun sama.
Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Masniah Dolah.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh bagi kesemua pertuduhan tersebut. Tertuduh membayar jaminan tersebut. Kes akan disebut semula pada 8 Julai ini. – KOSMO! ONLINE














