PASUKAN Kuching City dijangka tidak memberi laluan mudah buat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia menjelang aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali menyifatkan perlawanan akhir kejohanan tertua Malaysia melibatkan Harimau Selatan dan The Cats sebagai pertembungan cukup menarik yang sukar dijangka.
Menurut Safee, kemaraan Kuching City ke pentas final buat kali pertama menghadirkan elemen kejutan, lebih-lebih lagi skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ketika ini berada dalam momentum terbaik selepas mengakhir Liga Super di kedudukan kedua.
“Perlawanan ini sangat menarik dan saya memang tertunggu-tunggu. Ini kali pertama Kuching City ke final dan saya rasa mereka ada momentum yang cukup baik.
“Mereka cukup konsisten dan memiliki serangan yang berkualiti. Sudah tentu ini adalah final yang menarik untuk kita saksikan.
“Saya juga jangka mereka akan mendapat sokongan padu ramai penyokong Sarawak kerana mereka ada kumpulan penyokong yang besar,” katanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun, Safee masih percaya JDT selaku bekas pasukan yang diwakilinya masih memiliki reputasi yang besar dan sukar untuk ditewaskan.
Katanya, skuad Harimau Selatan pasti sudah mengenal pasti kekuatan serta kelemahan lawan, namun aksi final tetap berbeza kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit.
“JDT semestinya tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Namun aksi final adalah berbeza, itu yang menjadikan ia menarik untuk ditunggu,” katanya.














