SEPANG- Harapan untuk melihat bumi Gaza menerima bantuan kemanusiaan oleh delegasi Malaysia ‘lebur’ apabila baki empat rakyat negara ini akhirnya ditahan rejim Israel malam ini.
Maklumat terkini itu diperoleh menerusi paparan langsung yang dipaparkan di Sumud Nusantara Command Center (SNCC) sebentar tadi ketika misi berada di Zon Merah 2.
Berdasakan paparan langsung itu, beberapa kapal dilaporkan telah dipintas Israel termasuk Zefiro yang dinaiki peserta Malaysia Noor Thanisah Mohamad Tajudin pada pukul 7.44 malam tadi.
Sementara itu, Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs dan pembantu perubatan dikenali sebagai Chin Shiau Weai yang menaiki kapal Alcyone difahamkan telah dipintas sekitar pukul 8.30 malam tadi.
Seorang lagi rakyat Malaysia iaitu Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar yang menaiki kapal Don Juan pula dipercayai dipintas sebentar tadi.
Penculikan terkini empat rakyat Malaysia itu sekali gus menjadikan jumlah peserta misi Global Sumud Flotila (GSF) dari negara ini yang ditahan Israel seramai 29 orang.
Hari ini, SNCC mengesahkan seramai 25 rakyat Malaysia telah diculik Israel sejak semalam ketika kapal dinaiki mereka berada di perairan antarabangsa.
Difahamkan, rakyat Malaysia yang diculik itu kini berada di ‘penjara atas laut’ milik Israel selain keadaan terkini mereka tidak dapat disahkan buat masa ini.
Bagaimanapun, SNCC belum menerima sebarang pengesahan mengenai status kesemua aktivis ditahan termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka selepas dipintas.
Sehingga pukul 3 petang, sebanyak 40 buah kapal flotila melibatkan hampir 350 orang aktivis kemanusiaan telah dipintas dan diceroboh oleh Israel. – KOSMO! ONLINE














