PETALING JAYA – Reputasi hebat Buriram United tidak pernah menghadirkan rasa gerun buat Selangor FC yang bakal melayan kunjungan kelab Thailand itu pada final pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.
Selain harapan untuk menghadirkan kejayaan buat The Red Giants dan arena bola sepak Malaysia, kejayaan di ACC menjadi penawar selepas Selangor FC gagal mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) musim depan.
“Kami kena terima tidak dapat kedudukan kedua dalam liga dan perlu lupakannya. Kami memiliki skuad yang seimbang daripada sudut serangan dan bertahan malah kami juga agak bagus di gelanggang sendiri.
“Jika kami mampu menang kejuaraan ini, ia bukan saja kejayaan Selangor tetapi buat Malaysia. Di Asia Tenggara, kami sentiasa pasukan bukan pilihan tetapi layak ke final dan semestinya kena rasa bangga
“Kami akan cuba dominasi, kawal permainan dan tunjukkan betapa kuat bola sepak Malaysia dan bagi saya itu satu lagi perkara penting. Kami mahu gunakan kelebihan kami bermain di tempat sendiri, jadi kami akan serang mereka untuk memenangi perlawanan,” kata pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon.
Jurulatih dari Korea Selatan itu juga mahu pemainnya mengelak daripada melakukan kesilapan sebaliknya cuba memberikan tekanan hingga memaksa pasukan lawan yang melakukan kesilapan.
Dalam masa sama, Pan-gon tidak merasakan ketiadaan Guilherme Bissoli dan Goran Causic akan beri kesan besar kepada Buriram United.
“Kami mesti hormati Buriram United memandangkan mereka menjadi salah satu pasukan Asia Tenggara yang berjaya di Liga Juara-Juara Elit dan kita juga dapat lihat mereka ada pemain berkualiti.
“Dua pemain ini adalah pemain penting untuk mereka namun saya percaya mereka ada pengganti kerana mereka ada ramai pemain yang bagus. Kami tidak melihat kepada perkara ini sebaliknya fokus kepada potensi yang kami ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE














