SHAH ALAM – Keterbatasan fizikal sejak lahir bukan faktor penghalang buat seorang wanita yang menghidap penyakit tulang rapuh untuk menggenggam ijazah hari ini.
Kecekalan itu dibuktikan Rusyamimi Badrul Sham, 24, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Pengurusan Sistem Pejabat.
Anak kelahiran Pahang itu berkata, penyakit dikenali Osteogenesis Imperfecta (OI) menyebabkan tulangnya mudah patah dan menyukarkan pergerakan harian terutama ketika menghadiri kelas.
“Cabaran utama saya yang berkerusi roda elektrik adalah kesukaran bergerak seperti ke dewan kuliah dan terpaksa meminta bantuan rakan. Saya juga menerima bantuan pengangkutan khas daripada UiTM dan bersyukur segala kegigihan itu dibalas dengan segulung Ijazah Sarjana Muda ini,” katanya pada Istiadat Konvokesyen ke-104 di UiTM Shah Alam, di sini.
Menurut Rusyamimi, ibu bapanya, pensyarah dan rakan sekuliah yang sentiasa bersamanya menjadi sumber kekuatan utama sepanjang pengajiannya.
Tambahnya, dia kini melanjutkan pengajian semester kedua di peringkat Sarjana Sains (Pengurusan Perniagaan) dalam mod penyelidikan di UiTM Cawangan Jengka, Pahang.
“Selain mencari pekerjaan bersesuaian dengan bidang diceburi, saya bercita-cita mahu membuka perniagaan sendiri pada masa depan di samping membantu menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya. – KOSMO! ONLINE














