PETALING JAYA – Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, meluahkan rasa kecewa apabila terdapat segelintir penerima bantuan didakwa terlalu memilih ketika memohon bantuan.
Merujuk kepada satu kes melibatkan seorang asnaf yang memohon bantuan bagi pesakit kanser, beliau berkata, pada awalnya pihak berkenaan meminta kerusi roda boleh laras elektrik yang bernilai sekitar RM6,000 hingga RM7,000.
Namun, selepas meneliti keadaan pesakit iaitu kanak-kanak berusia 14 tahun dan berada pada tahap paliatif, pihaknya mencadangkan model manual yang jauh lebih murah, iaitu sekitar RM600.
“Aku hantar dua gambar nak tunjuk contoh. Gambar aku ambil dekat Facebook sebab CSM pernah bagi kepada pesakit kanser.
“Dua gambar model manual dengan dua model berlainan. Mak tu hantar mesej siap memilih nak gambar nombor satu,” kongsinya di media sosial, hari ini.
Zuriani meluahkan, situasi tersebut membuatkan beliau berasa tertekan dan kurang bersemangat untuk meneruskan bantuan pada ketika itu.
“Aku dah stres. Macam tak berapa ikhlas dah nak membantu,” ujarnya.
Perkongsiannya itu meraih perhatian orang ramai yang turut berkongsi pengalaman masing-masing.
“Faham sangat. Jenis macam ni kan, mentaliti mereka ‘Dah orang nak bagi tu kita minta betul-betul punya. Alang-alang kan…’. Kejap lagi kalau cakap lebih-lebih tiba-tiba la pura-pura jadi mangsa,” ujar seorang pengguna.
“Orang nak bagi percuma tu dah kira syukur. Ni jenis orang yang bagi betis nak paha. Geram pula baca cerita dia ni,” komen @Suriani Suriani.
“Dah orang nak bagi ikhtiar datang ambil pun tak nak, alasan tak ada kereta. Banyak jumpa jenis ni. Ke sana ke sini boleh pula,” ujar @Noor Haniza. – KOSMO! ONLINE














