fbpx
Muhammad Nadir (tengah) pada sidang akhbar berhubung misi GSF 2.0 ke Gaza.

GSF 2.0: Lihat sama ada Presiden Cyprus akan jadi ‘boneka’ Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 mendakwa dunia kini sedang memerhati tindakan kerajaan Cyprus susulan pemintasan terhadap armada mereka yang dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza.

Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman berkata, selepas separuh armada mereka dipintas, perhatian global bukan sahaja tertumpu kepada tindakan ketenteraan Israel, malah negara-negara yang didakwa mampu bertindak tetapi memilih untuk berdiam diri.

“Dunia juga sedang memerhati negara dan kerajaan yang sebenarnya boleh melakukan lebih banyak tindakan, tetapi terus memilih untuk berdiam diri dan bersubahat terhadap kekejaman rejim Zionis Israel,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sebelum ini pemintasan pertama berlaku ketika armada itu berada di perairan Greece dan mendakwa kerajaan negara berkenaan membenarkan tindakan tersebut berlaku.

Katanya, tumpuan kini beralih kepada Cyprus bagi melihat sama ada negara itu akan mengambil pendirian sama atau sebaliknya.

“Semua mata kini tertumpu untuk melihat sama ada Presiden Cyprus akan menjadi ‘boneka’ Israel yang seterusnya,” dakwanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menarik perhatian terhadap konvoi darat Maghreb yang didakwa berdepan ancaman untuk dihalang di timur Libya.

Muhammad Nadir mendakwa kerajaan pimpinan Khalifa Haftar melabelkan konvoi tersebut sebagai pengganas walaupun misi berkenaan membawa bantuan kemanusiaan dan ambulans ke zon konflik.

“Pengganas tidak mengorbankan nyawa untuk memasuki zon perang tanpa senjata. Pengganas juga tidak membawa ambulans serta bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Sebaliknya, pihak yang menghalang sukarelawan aman dan tidak bersenjata ini sebenarnya melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan Haftar agar membenarkan konvoi tersebut melalui laluan berkenaan secara aman.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan pergerakan konvoi darat menuju ke Gaza terpaksa dihentikan sementara di Sirte, Libya berikutan peningkatan risiko keselamatan di laluan berkenaan.

Sumud Nusantara dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, keputusan penangguhan itu dibuat bagi membolehkan pihak penganjur menilai segera situasi bahaya yang sedang memuncak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN