TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkasa penggunaan tulisan jawi dalam setiap medium hebahan majlis rasmi universiti itu sebagai usaha progresif memartabatkan warisan negara.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pelaksanaan itu selaras dengan aspirasi universiti tersebut nyang menekankan nilai adab, akhlak dan jati diri melibatkan warga kampus.
“Sehubungan itu, penggunaan tulisan jawi akan diperluas dalam bahan komunikasi rasmi majlis termasuk kain rentang (banner), poster dan paparan visual program universiti.
“UPSI akan mengangkat kembali tulisan Jawi dalam majlis-majlis universiti sebagai sebahagian usaha kembali kepada akar dan asal usul bangsa serta pendidikan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Executive Talk 5.0: Kelestarian Kewangan UPSI Pasca Krisis Asia Barat di sini hari ini.
Menurut Md. Amin, UPSI sebagai universiti pendidikan tertua negara perlu memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya dan sejarah bangsa Melayu termasuk penggunaan tulisan jawi yang menjadi lambang ketamadunan ilmu.
Usaha itu seiring dengan pendekatan universiti yang membawa slogan ‘Adab, Akhlak, Akademik’. Semua warga universiti juga perlu sentiasa menghargai sejarah penubuhan UPSI yang bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC).- KOSMO! ONLINE














