KUALA LUMPUR – Sindiket berselindung di sebalik perniagaan makanan sejuk beku dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan serta pencampuran produk halal dan tidak halal tumpas selepas diserbu dalam Op Taring Chiller di sekitar Kajang, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi dijalankan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Jabatan Veterinar Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang.
Menurut beliau, serbuan dilakukan antara pukul 8 malam, Khamis lalu hingga 2 petang, Jumaat lalu melibatkan premis yang disyaki menjalankan aktiviti penyimpanan, penjualan dan pengedaran makanan sejuk beku menyalahi undang-undang.
“Hasil operasi, pihak polis menahan seorang lelaki tempatan dan empat lelaki warga Myanmar berusia antara 21 hingga 43 tahun yang dipercayai pekerja di premis terbabit.
“Turut dirampas produk sejuk beku bernilai kira-kira RM12.4 juta melibatkan 4,840 karton karkas khinzir, 410 karton chicken wings (kepak ayam) import dan 115 karton itik,” katanya pada sidang akhbar Op Taring Chiller di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 167,143.72 kilogram.
Katanya, siasatan mendapati premis itu telah beroperasi sejak kira-kira empat tahun lalu dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sehingga 2031 bagi menjalankan aktiviti stor sejuk dan logistik.
“Bagaimanapun, premis itu didapati tidak mempunyai lesen menjalankan aktiviti penyimpanan atau pemprosesan makanan sejuk beku,” ujarnya.
Tambah beliau, modus operandi sindiket adalah berselindung di sebalik perniagaan makanan sejuk beku dengan menjalankan aktiviti penyeludupan produk import tidak diiktiraf selain mencampurkan produk halal dan tidak halal.
Menurutnya, polis percaya kegiatan itu didalangi sindiket yang mempunyai rangkaian tertentu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang utama serta pemodal terlibat.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut mengesan pelbagai kesalahan lain termasuk menggajikan pekerja asing tanpa permit sah, kesalahan berkaitan penandaan halal dan menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Mohd. Yusri berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga Jumaat lalu, pihaknya merekodkan lapan kes di bawah Op Taring Chiller dengan 52 tangkapan serta rampasan dan sitaan bernilai RM15.1 juta.
“Bagi keseluruhan KDNKA pula, sebanyak 88 kes direkodkan dalam tempoh sama melibatkan 153 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM157.39 juta.
“Kita memberi amaran tegas bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














