KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan hari ini berhujah pemberian wang pengenalan atau ‘introduction fees’ RM2.8 juta kepada Datin Seri Zizie Izette A. Samad daripada dua ejen pelaburan bukan satu rasuah.
Semasa prosiding hujahan lisan hari ini peguam M. Athimulan yang mewakili Zizie Izette berkata sebaliknya penerimaan wang tersebut daripada Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Moktar diberikan secara sukarela kepada Zizie Izette seperti yang dinyatakan dalam keterangan mereka.
“Norhaili dalam keterangannya sendiri menyatakan amalan memberi wang pengenalan merupakan strategi pemasarannya selaku ejen pelaburan Public Mutual Berhad dan tiada bukti menunjukkan wang pengenalan yang diterima itu boleh dikaitkan dengan perbuatan rasuah,” kata peguam itu.
Hujah beliau, meskipun pada perbicaraan lalu, Madhi (saksi pendakwaan ke-24) dan Norhaili (saksi pendakwaan ke-25) diisytiharkan sebagai saksi belot (hostile witness), namun yang lebih penting adalah kredibiliti kedua-duanya tidak dicabar.
Sementara Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dalam hujahan balasnya menyatakan pembelaan Zizie Izette berhubung isu ‘introductory fee’ RM2.8 juta adalah satu penafian semata-mata apabila tertuduh sendiri mempunyai pengetahuan berkenaan sejak pertemuan di hotel.
“Tertuduh pada setiap masa yang material tidak menolak wang sebanyak RM2.8 Juta tersebut malah bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa tertuduh tidak membantah untuk menerima wang itu walaupun mengetahui wang tersebut adalah wang hasil daripada pelaburan Felcra Bhd ke Public Mutual Investment.
“Tertuduh sepatutnya menolak wang tersebut lagi-lagi apabila suami tertuduh Allahyarham Moktar Radin pada setiap masa yang meterial memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, Felcra Bhd,” kata pihak pendakwaan.
Terdahulu Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 20 Julai ini bagi keputusan Zizie Izette berhubung tiga pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Keputusan sama ada Zizie Izette, 48, dilepas atau disabitkan atas tiga pertuduhan diakhir kes pembelaannya akan ditentukan Hakim Rosli Ahmad yang telah selesai mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika sabit kesalahan, pelakon itu berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Bung Moktar yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE














