KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi seperti biasa bermula pukul 1.31 tengah hari tadi selepas mengalami gangguan teknikal melibatkan sebuah tren di Stesen Kelana Jaya pada pagi ini.
Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, tren yang terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan untuk mengenal pasti punca gangguan berkenaan.
Menurut Rapid KL, siasatan tersebut akan dilakukan pada waktu kejuruteraan malam ini selepas tamat operasi harian.
“Sehubungan itu, perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma juga telah ditamatkan.
“Namun, kakitangan tambahan akan terus ditempatkan di stesen-stesen utama bagi memberikan bantuan dan sokongan kepada penumpang,” katanya hari ini.
Terdahulu, gangguan tersebut menyebabkan perjalanan pengguna Laluan Kelana Jaya terjejas apabila tren tidak dapat bergerak di Stesen Kelana Jaya susulan kerosakan komponen.
Rapid KL turut menasihatkan penumpang supaya mendapatkan maklumat terkini menerusi platform media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE.
Dalam pada itu, pihak pengendali pengangkutan awam berkenaan memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan memberi jaminan bahawa aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan operasi.- KOSMO! ONLINE














