fbpx
Gambar hiasan

Perkhidmatan tren laluan Kelana Jaya kembali pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya kembali beroperasi bermula pukul 1.31 tengah hari tadi selepas mengalami gangguan teknikal melibatkan sebuah tren di Stesen Kelana Jaya pagi ini.

Rapid KL dalam kenyataannya berkata, tren yang terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan untuk mengenal pasti punca gangguan tersebut.

Katanya, siasatan tersebut akan dilakukan pada waktu kejuruteraan malam ini selepas tamat operasi harian.

“Sehubungan itu, perkhidmatan bas perantara telah ditamatkan. Namun, petugas tambahan akan ditempatkan di stesen-stesen utama bagi memberikan bantuan dan sokongan kepada penumpang,” katanya hari ini.

Terdahulu, gangguan tersebut menyebabkan perjalanan pengguna laluan Kelana Jaya terjejas apabila tren tidak dapat bergerak di Stesen Kelana Jaya susulan kerosakan komponen.

Rapid KL turut menasihatkan penumpang supaya mendapatkan maklumat terkini menerusi platform media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE.

Dalam pada itu, pihak pengendali pengangkutan awam berkenaan memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan memberi jaminan bahawa aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan operasi.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN