fbpx
Mohd. Yusoff menunjukkan blok enjin motosikal yang digunakam untuk memukul mangsa pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Dendam lama punca lelaki OKU mati dibunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Dendam lama dipercayai menjadi punca seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam dipukul sebelum ditinggalkan di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada 14 April lalu.

Mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah pada muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan tersebut pada pukul 7.30 pagi sebelum menghembuskan nafas di Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian kira-kira pukul 12.55 tengah malam keesokan harinya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati, tujuh suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 52 tahun termasuk pasangan suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut dipercayai sering berselisih faham dengan mangsa.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ada dendam lama antara mereka yang membawa kepada pembunuhan mangsa.

“Mungkin ada dendam antara mereka sehingga menyebabkan suspek dan mangsa bergaduh di sebuah rumah di daerah Kota Bharu. Menerusi pergaduhan itu, mangsa dipercayai dipukul pada bahagian dada dengan blok enjin motosikal dan sebuah topi keledar pula digunakan untuk memukul mukanya.

“Mangsa kemudian dibawa sejauh 6.5 kilometer dengan menaiki sebuah kenderaan sebelum ditinggalkan di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, suspek dipercayai meletakkan mangsa di tepi jalan untuk memperlihatkan Muhammad Zakir Fikry seperti terlibat kemalangan.

Menurutnya, siasatan mendapati, dalang kes tersebut merupakan dua suspek berusia 25 dan 28 tahun manakala individu lain dipercayai membantu termasuk meletakkan mangsa di tepi jalan.

“Sebuah kereta, tiga buah motosikal, enam telefon bimbit termasuk dua batang kayu merupakan antara barangan yang dirampas dalam kes tersebut selain blok enjin motosikal dan topi keledar,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini, tujuh suspek ditahan reman dan dua suspek utama dijangka akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dalam masa terdekat.

Terdahulu, misteri pembunuhan seorang lelaki OKU lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada 14 April lalu bakal terjawab selepas dua individu ditahan di Kubang Kerian dan Kota Bharu, dekat sini kira-kira pukul 1 dan 3 pagi pada 10 Mei lalu.

Mohamad Ismail berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang memiliki rekod dadah dipercayai rakan kepada Muhammad Zakir Fikry.

“Salah seorang suspek bekerja sebagai peniaga pakaian manakala seorang lagi merupakan penganggur. Kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod dadah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, selain itu, pasangan suami isteri yang berusia 26 dan 27 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu kira-kira pukul 4.30 petang di Kampung Padang Salim, Peringat di sini pada Khamis lalu.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati buruh dan isterinya yang merupakan seorang suri rumah itu negatif dadah.

“Suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah. Kedua-dua suspek itu dipercayai rakan kepada mangsa dan dua suspek lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut baru-baru ini,” katanya

Kosmo! sebelum ini melaporkan, selepas lebih 17 jam bertarung nyawa, Muhammad Zakir Fikry akhirnya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala apabila dipercayai dipukul dalam kejadian itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN