KUALA LUMPUR – Skuad quadrant negara memilih cara penuh dramatik untuk mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan India pada aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Selepas tamat tiga perlawanan, Malaysia, India dan Korea Selatan terikat dua kemenangan namun lebih bernasib baik kerana memiliki kelebihan daripada segi pungutan mata permainan keseluruhan.
Ketua pasukan negara, Amirul Zakwan Amir mengakui pasukan negara berada dalam situasi tekanan bagi mengesahkan slot ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung esok.
Malaysia muncul sebagai naib juara Kumpulan C dijadualkan bertemu juara Kumpulan B yang akan ditentukan pada perlawanan, esok.
“Ini perlawanan hidup mati kami, namun pada set pertama kami melakukan kesalahan. Namun kami baiki di set seterusnya dan Alhamdulillah kami menang pada set penentuan.
“Kita dapat (mata) daripada segi halangan dan semua pemain sudah berikan apa yang mereka ada. Sebenarnya di set ketiga kami pun tidak tahu yang kami mampu menjarakkan diri daripada mereka sebab kami pun tertekan.
“Kami tidak boleh bagi berikan India 12 mata sebab kalau ia berlaku, kami tidak layak,” katanya.
Turun dengan misi wajib menang, skuad negara bermula perlahan hingga membenarkan India mengesahkan kemenangan 15-13 namun pasukan bimbingan Zulkarnain Arif bangkit untuk meraih kemenangan 17-15 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set ketiga, skuad negara sekali lagi menyerlahkan kemampuan sebenar untuk mengatasi India 15-10. – KOSMO! ONLINE














