LONDON – Pengurus sementara Chelsea, Calum McFarlane mendakwa pasukannya berhak untuk diberikan sepakan penalti ketika tewas 0-1 kepada Manchester City pada final Piala FA, kelmarin.
McFarlane merasakan pertahanan The Citizens, Abdukodir Khusanov melakukan kekasaran kepada Jorrel Hato, namun pengadil perlawanan, Darren England serta penlitian Video Bantuan Pengadil (VAR) membuat keputusan sebaliknya.
McFarlane juga menganggap sejak kebelakangan ini pasukannya terpaksa berdepan detik malang apabila sering dihimpit nasib tidak baik dan kemuncaknya terpaksa berpuas hati dengan status naib juara Piala FA.
“Ia adalah penalti. Jorrel sudah berada di depan dan berlaku pelanggaran. Ia hampir sama dengan insiden membabitkan Joao Pedro ketika di Liverpool, juga saya merasakan ia adalah sepakan penalti.
“Kami kelihatan seperti tidak bernasib baik.Saya tidak ada sebarang penjelasan tentang pegawai perlawanan,” katanya.
Chelsea kini seakan tidak ada pilihan lain kecuali perlu memastikan mata maksimum dalam dua baki perlawanan Liga Perdana Inggeris bagi mengintai satu slot ke pertandingan Eropah musim depan.
The Blues dijadualkan menentang Tottenham Hotspur, awal pagi Rabu ini sebelum berkunjung ke gelanggang Sunderland pada perhitungan terakhir musim ini, 24 Mei nanti. – AGENSI














