PONTIAN – Seramai 102 mangsa daripada 29 keluarga dari Kampung Penerok di sini, berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok susulan hujan lebat sejak petang semalam.
Difahamkan, cuaca pada pukul 3.30 petang itu menyebabkan air naik hingga paras lutut dan menjejaskan kediaman penduduk di kampung tersebut.
Seorang ibu tunggal, Rugayah Yaman, 63, berkata, dia bersama empat anak berpindah ke PPS tersebut selepas seluruh kediamannya termasuk bilik, dapur dan tandas ditenggelami air.
“Setiap tahun memang teruk kami dilanda banjir, tiga atau empat kali. Banyak perabot, peti sejuk, televisyen rosak dan tidak dapat digunakan lagi selepas banjir,” katanya ketika ditemui Kosmo! di PPS SK Penerok hari ini.
Seorang lagi penduduk, Kintan Abd Rahim, 67, berkata, dia seperti sudah lali apabila hampir setiap tahun rumah yang didiami bersama anak perempuan berusia 29 tahun dilanda banjir.
“Nanti sekali lagi mungkin Disember nanti kita akan daftar masuk ‘hotel’ PPS pada musim tengkujuh seperti tahun lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Murniati Baharom, 57, pula berkata, dia berpindah ke PPS tersebut dengan bantuan ambulans kerana kedua-dua kaki suaminya, Haron Muan@Menok, 66, dipotong. – KOSMO! ONLINE














