SHAH ALAM – Asrama penginapan pekerja sebuah kilang tekstil dipercayai menjadi punca menyebabkan aliran air di Sungai Semenyih berbuih malam semalam.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan, pasukannya bergegas ke lokasi pengesanan aliran itu bagi melakukan pemeriksaan lanjut, kira-kira pukul 9 malam.
Katanya, semakan menemukan aliran berbuih dianggarkan 50 hingga 100 meter di sungai itu yang berpotensi memberi risiko kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.
“Siasatan sehingga awal pagi itu dilakukan di beberapa lokasi disyaki menjadi punca melibatkan kawasan Taman Perindustrian Bersepadu Semenyih dan Perindustrian Hi-Tech 3 Semenyih.
“Pasukan kami kemudian menemukan asrama penginapan pekerja sebuah kilang tekstil yang didiami lebih 50 pekerja,” katanya hari ini.
Menurut LUAS, pemerhatian mendapati ruang mandian dan cucian pakaian di premis itu berlaku pelepasan air ke saliran longkang lalu mengalir masuk ke sungai.
“Penggunaan ruang itu secara beramai-ramai pada satu-satu masa disyaki punca kepada aliran berbuih tersebut. – KOSMO! ONLINE














