PETALING JAYA – Spekulasi mengenai hala tuju politik Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad akhirnya terjawab apabila kedua-dua pemimpin itu diumumkan mengambil alih Parti Bersama Malaysia hari ini.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi majlis khas di PJ Performing Arts Centre di sini, yang turut disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube milik Rafizi.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR bergandingan dengan Nik Nazmi, bekas Naib Presiden PKR serta bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bagi menerajui parti politik berpangkalan di Pulau Pinang itu.
Penyerahan kepimpinan parti berkenaan disempurnakan Presidennya, Tan Gin Theam sebagai simbolik kepada permulaan era baharu Parti Bersama Malaysia.
Parti Bersama Malaysia didaftarkan pada Disember 2016 dengan matlamat menjadi kuasa ketiga selain memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan serta blok pembangkang.
Perkembangan tersebut sekali gus menamatkan teka-teki mengenai masa depan politik kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan selepas mereka dilihat semakin menjauh daripada pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – KOSMO! ONLINE














