fbpx
KON YEOW berucap sempena Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

PH Pulau Pinang pilih politik tanggungjawab, bukan populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memilih untuk mengetepikan politik populariti sebaliknya terus memperkukuhkan politik tanggungjawab demi memastikan kestabilan negeri, keyakinan pelabur dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, landskap politik ketika ini sudah berubah dan kerajaan tidak lagi boleh mengambil mudah sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, rakyat hari ini mahukan kepimpinan yang mampu membawa kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan keyakinan terhadap masa depan negeri, bukannya sekadar retorik politik semata-mata.

“Dalam politik hari ini terlalu mudah untuk mencari populariti melalui perpecahan dan kebencian, tetapi Pulau Pinang memilih jalan yang berbeza. Kita memilih politik kestabilan, politik pembangunan dan politik masa depan.

“Rakyat mahukan kestabilan, pelabur juga mahukan kestabilan. Anak muda yang mencari pekerjaan dan masa depan turut mahukan kestabilan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow yang juga ketua Menteri Pulau Pinang, walaupun terdapat tekanan politik serta pelbagai isu semasa yang membelenggu rakyat termasuk kos sara hidup, pembangunan bandar, kesesakan lalu lintas dan kebimbangan ekonomi, kerajaan negeri tetap memilih untuk meneruskan dasar yang diyakini penting demi masa depan Pulau Pinang.

Katanya, beliau boleh sahaja memilih pendekatan populis dengan menangguhkan keputusan sukar demi menjaga sokongan politik menjelang pilihan raya, namun enggan mengambil jalan mudah tersebut.

“Ada yang kata kerana ini penggal terakhir saya sebagai Ketua Menteri, saya boleh memilih jalan mudah dan mengelakkan keputusan tidak popular.

“Tetapi saya tidak memilih jalan itu kerana apa yang lebih penting adalah memastikan kedudukan kewangan negeri terus kukuh, pembangunan infrastruktur diteruskan dan masa depan negeri terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran politik semakin meningkat menjelang PRU16 susulan perubahan sentimen pengundi termasuk perkembangan politik di Sabah yang menunjukkan sokongan rakyat boleh berubah dengan pantas.

Menurutnya, situasi tersebut menjadi peringatan bahawa kemenangan sesebuah parti tidak lagi boleh dianggap sebagai jaminan kekal walaupun banyak jasa telah ditaburkan kepada rakyat.

Beliau turut menyifatkan Pulau Pinang masih menjadi model kerjasama kerajaan perpaduan apabila hubungan antara PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu kekal stabil walaupun berlaku ketegangan politik di beberapa negeri lain.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri perlu terus memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan bagi memastikan keyakinan pelabur asing dan domestik terhadap Pulau Pinang terus meningkat.

Tambah beliau, PRU16 bukan sekadar soal siapa paling kuat berkempen, sebaliknya siapa yang benar-benar diyakini rakyat mampu memimpin negeri ketika berdepan cabaran lebih sukar pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN