KLANG – Seorang lelaki dipercayai memandu secara mabuk dengan melawan arus dan merempuh penunggang motosikal di Persiaran Kota di sini, dijangka didakwa di mahkamah pada Isnin ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Kosmo! semalam melaporkan, tempoh reman terhadap suspek berusia 30-an itu dilanjutkan selama empat hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, mangsa lelaki tempatan berusia 20-an dilaporkan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang susulan kecederaan yang dialami akibat kemalangan terbabit. – KOSMO! ONLINE














