AMPANG – Peluang Selangor FC untuk menjuarai Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) cerah sekiranya mampu memperoleh bekal selesa pada final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Rabu ini.
Bekas penyerang The Red Giants, Safee Sali berkata, faktor itu pasti memudahkan pengendali pasukan, Kim Pan-gon merangka taktikal lebih baik pada perlawanan kedua, 27 Mei ini.
“Bagi saya satu perkembangan yang sangat menarik untuk pasukan Selangor selepas kemasukan Kim Pan-gon, nampak banyak perubahan dan perkara positif. Masuk ke final sudah pasti peluang cerah apabila mereka bermain di tempat sendiri dulu.
“Selangor perlu mengambil peluang untuk bermain di gelanggang sendiri untuk membawa bekalan yang selesa sebelum perlawanan kedua,” katanya pada sidang media MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026, hari ini.
Selangor FC layak ke final selepas menyingkirkan kelab Vietnam, Nam Dinh 4-1 secara agregat manakala lawan mereka, Buriram United menang 4-3 secara agregat ke atas satu lagi wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Penganjuran MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026 mendapat penyertaan hampir 1,000 kanak-kanak dari seluruh negara dan ia menunjukkan peningkatan berbanding edisi lepas.
“Saya sangat gembira melihat peningkatan penyertaan untuk edisi kali ini. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan ia memberi semangat kepada saya untuk terus memperkasakan kejohanan ini agar menjadi lebih kompetitif pada masa hadapan.
“Saya juga berharap lebih banyak organisasi dan syarikat korporat akan terus menyokong inisiatif bola sepak akar umbi seperti ini demi membantu melahirkan serta membangunkan bakat-bakat muda di Malaysia,” kata Safee. – KOSMO! ONLINE














