fbpx
AMARAH yang berterusan boleh membawa kepada keburukan termasuk kehilangan nyawa.

Bahayanya amarah melampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELURUH rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita penemuan mayat seorang gadis berusia 19 tahun dalam keadaan tragis dengan 61 kesan tikaman di Ketereh dekat Kota Bharu, Kelantan.

Mayat Nurfisya Zulkifly, 19, dijumpai kira-kira pukul 12.30 tengah malam di Jalan Pengkalan Piah berhampiran kawasan sawah padi yang gelap.

Mangsa ditemukan terbaring di atas jalan raya, memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘Syaa’, seutas rantai tangan pada pergelangan tangan kiri dan sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.

Selain itu, beberapa barangan lain seperti seutas manik berwarna-warni, cermin mata dan sehelai selendang turut berada berhampiran mayat mangsa.

Malah, keluarga mangsa turut tertanya-tanya dosa apa yang dilakukan oleh Nurfisya sehingga dibunuh dengan kejam.

Kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan kes tersebut membawa kepada penahanan dua remaja berusia 19 tahun dan pasangan suami isteri berusia 60 dan 66 tahun yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek.

Kemuncaknya apabila seorang pelajar di sebuah kolej vokasional, Muhammad Hazim Muhammad, 19 didakwa di Mahkamah Majistret Selasa lalu.

Mengulas mengenai kes-kes bunuh melibatkan tikaman berganda terhadap mangsa, penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, suspek yang terbabit dalam pembunuhan kejam biasanya mempunyai sifat amarah yang membuak-buak sehingga bertindak di luar akal fikiran.

Katanya, dalam aspek kriminologi, suspek yang berniat untuk membunuh akan menikam atau menyebabkan kematian mangsa dengan perbuatan yang minimum.

“Pembunuhan boleh berlaku dengan satu atau tikaman sahaja selain bertindak memukul pada bahagian tertentu pada tubuh mangsa. Sebenarnya, beberapa tikaman sudah cukup menyebabkan kematian individu.

“Apabila melibatkan tikaman berganda dan bertubi-tubi, berkemungkinan suspek tidak dapat mengawal amarah sehingga bertindak di luar akal fikiran yang waras.

“Ugutan sehingga berada dalam tekanan tinggi juga boleh menyebabkan seseorang individu itu mengalami kekecewaan sebelum bertindak melakukan pembunuhan kejam,” katanya.

Shahul Hamid juga tidak menolak kemungkinan banyak kes pembunuhan kejam yang berlaku di negara ini berpunca daripada ugutan yang boleh menyebabkan maruah individu atau keluarganya tercalar.

“Faktor itu dipercayai boleh merangsang tindakan luar kawalan sesetengah individu sehingga hanya terfikir untuk menghapuskan sasarannya.

“Tindakan luar kawalan kebiasaannya berlaku di bawah minda tanpa sedar apabila manusia secara lahiriah tidak boleh berfikir dengan tenang dan panjang apabila menghadapi tekanan yang berat,” ujarnya.

Beliau berpandangan, semua pihak perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam penggunaan media sosial kerana platform tersebut ketika ini boleh menjadi jambatan atau penghubung kepada kegiatan jenayah.

Menurutnya, penggunaan media sosial perlu sentiasa dikawal tidak kira golongan muda atau veteran kerana platform itu sebenarnya akan membentuk peribadi individu dalam masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN