KAJANG – Seorang pemandu lori simen berdepan detik cemas apabila tersepit selepas kenderaan dipandunya merempuh plaza tol di Bukit Kajang, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.06 tengah hari.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira sembilan minit kemudian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah lori simen telah melanggar plaza tol.
“Terdapat seorang mangsa berusia 36 tahun tersepit di bahagian pemandu dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – KOSMO! ONLINE














