fbpx
Penguat kuasa KPDN Manjung menanyakan soalan kepada pekerja stesen minyak berkenaan di Ayer Tawar, Sitiawan hari ini. - Foto IHSAN KPDN

Warga Malaysia guna BUDI95 beli minyak RON95 untuk kereta asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Warga Malaysia dikesan menggunakan BUDI95 untuk membeli minyak RON95 bagi kenderaan asing di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar, Sitiawan dekat sini kelmarin.

Perkara tersebut mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak setelah rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Bahkan, stesen minyak lokasi pembelian bahan api tersebut berlaku turut disiasat dan berhadapan tindakan undang-undang ekoran menjual minyak RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing terbabit.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejadian tersebut disiasat pihaknya ekoran penularan satu rakaman video di media sosial berhubung isu berkenaan.

“KPDN Cawangan Manjung telah bertindak pantas menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas sebuah stesen minyak susulan aduan serta penularan maklumat di media sosial berkaitan dakwaan pengisian minyak RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing.

“Taktik mengelirukan dan cuba mengaburi nombor pendaftaran kenderaan asing bagi mengelak dikesan (dilakukan pemilik kenderaan asing berkenaan),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada 13 Mei 2026 kira-kira pukul 9 malam.

Beliau berkata, pembelian petrol RON95 telah dibuat oleh warga Malaysia melalui BUDI95 dan bayaran menggunakan kaedah secara kad kredit di kaunter, manakala kenderaan yang digunakan pula adalah disyaki menggunakan nombor pendaftaran asing.

“Daripada semakan transaksi, hanya sebahagian daripada jumlah pembelian telah berjaya diisi sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) stesen minyak telah diperoleh dan disemak bagi membantu siasatan,” katanya.

Kamalludin berkata, satu tindakan kes kesalahan di bawah subperaturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON 95) 2026 telah diambil.

Katanya, ia kerana subperaturan 3 (1) peraturan yang sama iaitu tiada seorang pun boleh menjual petrol RON95 kepada mana-mana orang bagi kegunaan kenderaan motor asing tanpa kebenaran bertulis Pengawal telah dilanggar.

“Manakala satu kes lagi juga disiasat bagi kesalahan di bawah subperaturan 4 (3) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON 95) 2026.

“Ia kerana subperaturan 4 (1) peraturan yang sama iaitu tiada seorang pun boleh membeli petrol RON95 bagi kegunaan kenderaan motor asing tanpa kebenaran bertulis Pengawal telah dilanggar,” kataaya.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN