JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan sekumpulan jemaah lelaki dari Indonesia melindungi jemaah wanita daripada terpisah ketika mengerjakan ibadah haji di kota suci Mekah.
Kejadian dirakam di Masjidil Haram, baru-baru ini.
Rakaman video dikongsi di platform Instagram oleh akaun @korda_news menunjukkan jemaah lelaki berjalan dalam bulatan untuk melindungi jemaah wanita di tengah-tengah keadaan yang sesak semasa melakukan tawaf.
Mereka berbuat sedemikian agar tiada ahli yang sesat atau terpisah daripada kumpulan itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 36,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Semoga saya dapat ke sana suatu hari nanti,” kata seorang netizen.
“Semoga mereka dipermudahkan semasa mengerjakan ibadah haji,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














