PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan usaha membuka laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi lepasan tahfiz bukan bertujuan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Sebaliknya, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr. Azlinda Azman berkata, pelaksanaan kemasukan itu dibuat bagi memperluas akses pendidikan kepada pelajar aliran berkenaan.
Beliau berkata, semua pihak boleh memberi pandangan namun, pihaknya melihat ia membuka ruang dan peluang kepada pelajar lepasan institusi itu bukannya memberi pengiktirafan.
“Kerajaan melihat semakin ramai pelajar aliran agama ingin menyambung pengajian. Bagi sekolah agama yang berada di bawah sistem Jabatan Kemajuan Islam, pembelajaran mereka lebih tersusun kerana mempunyai silibus yang jelas.
“Namun, masih ramai pelajar daripada sekolah pondok dan sekolah agama lain dianggarkan hampir 50,000 orang dan yang tidak berada dalam sistem itu.
“Jadi, kerajaan mahu memberi peluang dan laluan kepada golongan ini untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Katanya, pihaknya mahu melihat peluang pendidikan itu bersifat lebih inklusif malah, akses pendidikan itu telah diberi gambaran jelas menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 hingga 2035.
Dalam pada itu, Azlinda berkata, KPT menegaskan syarat kemasukan ke IPTA bagi lepasan sekolah persendirian Cina dan aliran berkaitan belum dimuktamadkan untuk diumumkan kepada orang ramai.
Menurutnya, dakwaan syarat ditetapkan terlalu tinggi seperti dikritik Dong Zong adalah tidak tepat kerana pihak kementerian masih belum mengeluarkan iklan rasmi permohonan.
“Sebenarnya tidak kabur. Di peringkat universiti memang sudah ada syarat-syarat tertentu dan perkara itu telah pun diteliti.
“Dalam universiti, senat ialah kuasa tertinggi yang menentukan aspek kualiti dan standard akademik. Itu kita tidak boleh kompromi dan tiada sesiapa boleh campur tangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan Dong Zong yang mendakwa syarat kemasukan ke IPT masih terlalu tinggi. – KOSMO! ONLINE














