fbpx
Alzafny (tengah) ditemani Pengarah JAS, Abdul Aziz Parmin menunjukkan antara barangan dirampas sempena Sidang Media Operasi Bersepadu Op e-Waste di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

RM 47.6 juta e-waste disita dalam dua serbuan di N. Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan berjaya merampas lebih RM47.6 juta membabitkan nilai barangan e-waste serta aset di tiga premis tidak berdaftar menerusi Operasi Bersepadu Op e-Waste, di daerah ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, rampasan serta sitaan itu dilaksanakan selama dua bulan sejak April melalui dua serbuan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dan Cawangan Khas Kontinjen Negeri Sembilan dengan kerjasama daripada agensi JAS Negeri Sembilan, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan di Nilai dan terbaharu di Kuala Sawah pada 6 Mei.

“Hasil serbuan mendapati terdapat tiga kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (pindaan) 2024. Pihak JAS telah mengeluarkan saman di bawah Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Seksyen 18 (1). Hasil kedua-dua operasi tersebut, pihak JAS telah menyita barangan disyaki e-waste serta 39 buah mesin dengan anggaran melebihi RM47, 637, 000.

“Hasil serbuan yang diadakan di kawasan Perindustrian Nilai pada 15 April lepas turut membawa kepada penangkapan dua lelaki tempatan berumur 43 dan 37 tahun dipercayai penjaga premis telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita sempena Sidang Media Operasi Bersepadu Op e-Waste di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Ujar Alzafny lagi, berdasarkan risikan di Nilai, premis telah disewa oleh seorang lelaki berusia 37 tahun sejak Januari lalu dengan jumlah sewaan sebanyak RM45,000 sebulan dengan tempoh pajakan sewa bangunan selama 84 tahun.

Selain itu menurut beliau, MBS juga telah mengeluarkan saman di bawah Seksyen 53(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian; Seksyen 55(1) Undang-undang Kecil Iklan serta Seksyen 81(k) iaitu menyebabkan atau melakukan perkara yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai kacau ganggu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN