PETALING JAYA – Insiden letupan yang berlaku berhampiran kawasan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura semalam, tidak membabitkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu dipercayai melibatkan dron yang tidak dikenal pasti.
Menurut beliau, kejadian berlaku berhampiran dengan Malaysia House iaitu kemudahan rehat bagi lima pegawai ATM yang bertugas sebagai pegawai staf tentera (PST) di bawah UNIFIL HQ di Naqoura.
“Ia telah mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL, memandangkan kesemuanya berada di dalam bunker semasa kejadian berlaku,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, lokasi berkenaan berada kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, iaitu penempatan utama Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 di selatan Lubnan.
“Siren amaran telah dibunyikan dan arahan untuk memasuki bunker telah dikeluarkan pada kira-kira pukul 5.19 petang kepada semua PST yang bertugas di Markas UNIFIL.
“Ia dibuat sebagai langkah keselamatan susulan situasi ancaman di kawasan operasi,” ujarnya.
Susulan insiden tersebut jelas beliau, kawasan sekitar Malaysia House telah ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL serta elemen berkaitan. – KOSMO! ONLINE














