KUALA LUMPUR – Kejadian lubang benam di Jalan Wangsa Delima 4, Wangsa Maju dipercayai bukan berpunca daripada masalah tanah mendap, sebaliknya akibat kerosakan sistem perparitan bawah tanah.
Susulan kejadian itu, laluan berkenaan ditutup sementara selama dua minggu bagi membolehkan siasatan lanjut dan kerja pembaikan dijalankan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini menjalankan siasatan terperinci bersama semua penyedia utiliti bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Katanya, kawasan lubang benam tersebut telah ditutup dan dikawal dengan anggaran keluasan kira-kira empat meter lebar serta empat meter dalam.
“Semalam saya pergi ke tapak dan kita dapati ada satu longkang utama dengan diameter 1.5 meter serta takungan di kawasan itu.
“Kita dapati tembok takungan itu pecah dan kita tidak jumpa ke mana runtuhan tembok itu pergi,” katanya pada sidang akhbar di Anjung Singgahsana Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, hari ini.
Menurut beliau, terdapat kemungkinan kerja utiliti menggunakan kaedah Horizontal Directional Drilling (HDD) di bawah tanah menyebabkan struktur tembok sistem perparitan berkenaan pecah.
“Bila tembok itu pecah, air longkang terus masuk ke tanah dan menyebabkan rongga.
“Bagaimanapun, pasukan kami masih menjalankan siasatan penuh bersama semua penyedia utiliti untuk kenal pasti punca sebenar,” katanya.
Fadlun berkata, kejadian itu juga tidak mempunyai kaitan dengan masalah tanah mendap lain, sebaliknya dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem perparitan.
Dalam pada itu, beliau berkata, DBKL turut menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu lubang benam atau lubang jalan di sekitar ibu kota.
“Dalam banyak kes lubang jalan, ia berpunca daripada paip kumbahan atau sistem perparitan yang pecah sehingga menyebabkan kawasan bawah tanah menjadi lompong.
“Apabila tanah di kawasan berhampiran jatuh, ia akan menyebabkan lubang jalan kecil atau besar,” katanya.
Tambah beliau, DBKL akan melaksanakan penutupan sementara jalan di lokasi lubang jalan sebelum pemeriksaan dibuat bagi mengenal pasti sama ada berlaku kebocoran paip atau kerosakan utiliti lain sebelum kerja pengukuhan kekal dijalankan.
Dalam perkembangan sama, Fadlun memaklumkan kerja pemetaan utiliti di Jalan Masjid India kini hampir 90 peratus siap membabitkan jajaran sepanjang 32 kilometer.
Katanya, DBKL juga akan memasang ‘Settlement Marker’ dari Semua House hingga Masjid India bagi mendapatkan bacaan pergerakan tanah secara masa nyata untuk membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku mendapan tanah. – KOSMO! ONLINE














