KUALA TERENGGANU – Mayat dua beradik perempuan yang lemas di Sungai Nerus di sini ditemui sebentar tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, mayat Nur Shahila Shahirah Azman, 12, dan kakaknya yang berlainan bapa, Nur Afiqah Shahirah Mohd. Shawalluddin, 15, ditemui pada pukul 6 petang.
“Mayat dua beradik tersebut ditemukan berdekatan di dalam dasar sungai sedalam kira-kira enam meter.
“Mereka ditemui kira-kira 50 meter dari tebing sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Jeram, Manir di sini hari ini.
Thoyyibah berkata, mayat Nur Shahila Shahirah, 12, dan Nur Afiqah Shahirah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Kuala Nerus untuk tindakan lanjut.
Terdahulu dua beradik tersebut dihanyutkan arus deras sewaktu mahu menyelamatkan dua rakan mereka,
Noor Shaqira Abdul Fatah, 12, dan Nurul Ain Fatihah Mohd. Zamri, 12, yang lemas.
Mereka berempat yang merupakan rakan rapat beriadah dan mandi di sungai berkenaan pada pukul 2.30 petang. – KOSMO! ONLINE














