KUALA LUMPUR – Produk penjagaan kecantikan kulit dari China, I Mishang di bawah jenama AI SEE LIFE telah melebarkan sayap perniagaannya ke Malaysia, bagi memenuhi keperluan dan permintaan yang baik daripada peminat dan pelanggan di negara ini.
I Mishang dikenali sebagai syarikat yang sangat mengutamakan kualiti produk dengan piawaian yang ketat, berpegang kepada prinsip tanpa hormon, tanpa logam berat dan tanpa bahan terlarang semoga pengguna dapat menggunakan produk dengan lebih yakin.
Lebih menarik, syarikat juga tidak mewajibkan sebarang pakej pembelian dan tidak mengamalkan sistem tambah nilai, supaya setiap sen yang dibelanjakan pengguna benar-benar digunakan untuk penjagaan diri sendiri, tanpa menambah perbelanjaan yang tidak perlu.
Ketua Pegawai Eksekutif I Mishang, Sheri Yap berkata, produk keluaran syarikat bukan sekadar untuk penjagaan kulit, tetapi sistem peningkatan menyeluruh dari kulit hingga merangkumi gaya hidup seseorang.
Menurut beliau, produk ini dibangunkan oleh pasukan profesional yang diposisikan sebagai jenama gaya hidup estetik dan bertaraf tinggi.
“I Mishang sesuai untuk pasaran Malaysia kerana memenuhi tiga keperluan utama iaitu tampil dengan hidrasi ringan (tidak berat seperti krim tebal), melindungi kulit (sesuai dengan gaya hidup berhawa dingin) dan penjagaan kulit lembut dan sesuai untuk kulit berminyak dan sensitif.
“Kini produk I MIshang boleh didapati di 20 outlet serta melalui platform e-dagang AI SEE LIFE,” katanya pada majlis pengenalan produk di sini baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, syarikat turut memperkenal duta jenamanya, Datin Seri Wong Mew Choo yang merupakan bekas pemain badminton negara, juga isteri kepada bekas jaguh badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei.
Selain itu, AI SEE LIFE juga komited untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dengan melaksanakan program sosial bagi membantu golongan ibu tunggal mahupun golongan orang kurang upaya (OKU) dengan membuka peluang perniagaan bagi menjana pendapatan.
Jelas beliau, selagi mereka sanggup belajar dan rajin berusaha, syarikat bersedia melatih mereka menjadi pakar kecantikan profesional, menyediakan peluang pekerjaan yang stabil, serta membantu menjana pendapatan lumayan. -KOSMO! ONLINE














