KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 kawasan ‘hot spot’ banjir dikenal pasti di sekitar ibu negara susulan kejadian hujan lebat dan banjir kilat yang melanda beberapa lokasi baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan dua pasukan khas atau ‘flying squad’ bagi mempercepat tindakan di kawasan yang terjejas.
Menurutnya, pasukan tersebut akan segera digerakkan sekiranya kadar hujan melebihi 22 milimeter (mm) sejam untuk membersihkan saliran yang tersumbat.
“Sekiranya hujan melebihi 22 mm sejam, pasukan ini akan terus ke hot spot untuk membersihkan ‘inlet’ yang tersumbat daun-daun kering supaya air boleh mengalir masuk ke sistem utama.
“Kita juga ada ‘flying squad’ untuk ‘potholes’ (lubang jalan) bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya selepas banjir surut,” katanya pada sidang akhbar di Anjung Singgahsana Menara DBKL 1, di sini hari ini.
Beliau berkata, hujan berintensiti tinggi sebanyak 96.5 mm dalam tempoh sejam pada 6 Mei lalu menjadi antara punca beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.
Katanya, bacaan hujan di stesen Universiti Malaya itu melebihi paras amaran Jabatan Pengairan dan Saliran iaitu 60 mm bagi tempoh dua hingga empat jam.
Tambahnya, DBKL turut meningkatkan kerja penyelenggaraan Sungai Toba menerusi aktiviti korekan kelodak setiap dua bulan berbanding empat bulan sebelum ini bagi mengurangkan risiko banjir kilat.- KOSMO! ONLINE














