KLUANG – Keupayaan teknologi yang lebih baik dimiliki pesawat FA 50 (Light Combat Air Craft) membolehkannya berupaya sebagai pesawat baharu menggantikan Hawk MK 108/208 Light Combat Aircraft yang telah diguna pakai sejak tahun 1994.
Pesawat FA 50 buatan Korea Aerospace Industris (KAI) Korea Selatan yang direka untuk pelbagai misi termasuk serangan darat dan latihan lanjutan dijangka akan diterima secara berperingkat menjelang hujung tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pesawat ini juga akan membantu pesawat Sukhoi serta F-18 yang sedia ada dalam tugas pertahanan udara negara kerana teknologi lebih baik daripada Hawk.
Katanya, perkara utama yang perlu difikirkan adalah teknologi terkini dalam pelbagai jenis aset samada kapal terbang, meriam, peluru berpandu dan radar sebelum memutuskan satu-satu pembelian.
“Kita mempunyai kapal terbang seperti F-18 dan juga F Sukhoi sedia ada, semuanya yang dijangkakan akan ditamatkan perkhidmatannya sekitar tahun 2035.
“Maksudnya, menjelang 2030 kita kena memulakan pencarian kapal terbang sesuai dengan teknologi terkini untuk dibeli sebagai pengganti kepada dua pesawat ini,” katanya ketika hadir dalam Majlis Peluncuran Program Ekonomi Madani Angkatan Tentera Malaysia di Batalion ke 5 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Kem Batu 3 di sini hari ini.
Ujarnya, walaupun sekarang pembelian F-18 daripada Kuwait dibatalkan atas sebab tertentu, dengan adanya FA 50 ini yang penghantaran akan bermula akhir tahun ini ia mencukupi bagi tujuan untuk menjaga pertahanan udara negara. – KOSMO! ONLINE














