KUALA LUMPUR – Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) terus mempergiat operasi membanteras penyeludupan migran menerusi pelbagai pendekatan strategik melibatkan kawasan perairan Selangor hingga Johor.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi berkenaan bertujuan memperkukuhkan kawalan keselamatan serta mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara lebih efektif dan bersepadu.
Menurut beliau, kejayaan tangkapan dilaksanakan hasil koordinasi elemen infantri di Pos Op Taring Nyah 1 Selangor dan Johor serta Task Force Delta Briged Tengah PGA.
“Bermula 1 Januari hingga hari ini, Briged Tengah PGA merekodkan 38 serbuan yang membawa kepada 55 kes.
“Hasilnya, seramai 335 migran berjaya ditahan terdiri daripada 237 lelaki dewasa bukan warganegara, 96 perempuan dewasa bukan warganegara dan dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan 37 individu yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat dan tekong laut.
“Tangkapan melibatkan lima lelaki warga tempatan, 29 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Myanmar.
“Keseluruhan serbuan turut membawa kepada rampasan 20 buah kenderaan, tiga bot dan 57 telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.6 juta,” katanya.
Menurut Hakemal, semua tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 159 serbuan telah dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sepanjang tempoh sama.
“Hasil operasi tersebut, seramai 551 individu berjaya ditahan dengan pelbagai jenis rampasan bernilai keseluruhan RM242 juta.
“Pihak polis melalui Pasukan Gerakan Am akan terus menjalankan tugas menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab dan profesional demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai diminta menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan migran bagi memastikan negara tidak dicerobohi elemen yang melanggar undang-undang. – KOSMO! ONLINE














