PUTRAJAYA- Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku buli selain akan mengambil tindakan tegas terhadap perkara berkenaan.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, dalam konteks ini, IPGM memandang serius kejadian buli yang didakwa berlaku di Kuching, Sarawak yang dilaporkan media hari ini.
“Kejadian itu sedang berada dalam siasatan pihak IPGM. Tindakan tegas, iaitu hukuman tatatertib buang IPGM akan diambil ke atas mana-mana pelatih yang didapati bersalah.
“IPGM tidak berkompromi dengan salah laku buli. Pelatih guru perlu berdisiplin serta menunjukkan akhlak dan sahsiah yang baik sebagai bakal pendidik,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, tular di media sosial kejadian buli didakwa berlaku pada awal pagi Jumaat lalu, membabitkan sekumpulan penuntut senior terhadap junior lelaki bagi sesi 2025/2030 di IPGM.
Sekumpulan penuntut senior terbabit didakwa mengumpulkan semua junior lelaki sebelum melakukan pelbagai bentuk penghinaan, selain menggunakan kata-kata kesat dan melakukan tindakan tidak bermoral terhadap mereka.
Berdasarkan maklumat tersebar di media sosial, perbuatan buli termasuk memaksa junior mencangkung selain melakukan aksi tidak senonoh.
Keadaan itu didakwa berlaku di hadapan pelajar lain sehingga menimbulkan rasa malu dan tertekan kepada mangsa. – KOSMO! ONLINE














