KUALA TERENGGANU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri menjangkakan hampir 7,000 lembu, kerbau, kambing, kambing biri-biri dan unta akan disembelih sebagai ibadah korban sempena Aidiladha hujung bulan ini.
Pengarah Veterinar Terengganu, Dr. Anun Man berkata, jumlah itu meningkat dua hingga lima peratus berbanding musim perayaan sama tahun lalu.
“Sebanyak 6,229 ekor haiwan ternakan disembelih sempena Aidiladha di Terengganu tahun lalu. Kita menjangkakan penyembelihan ibadah korban tahun ini meningkat dua dan lima peratus,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Kempen Kesedaran Awam Pencegahan Penyakit Haiwan Ternakan peringkat Terengganu di sini semalam.
Anun berkata, individu tempatan yang berhasrat melaksanakan ibadah korban boleh memohon permit penyembelihan di pejabat JPV berhampiran mulai semalam.
Permohonan permit sembelihan luar bagi ibadah korban dengan caj RM35 seekor untuk lembu dan kerbau, manakala kambing dan bebiri pula RM25 seekor akan dibuka sehingga 21 Mei ini.
“Upacara penyembelihan untuk ibadah korban dibenarkan pada 10 hingga 13 Zulhijjah. Pergerakan haiwan korban pula dibenarkan bermula 24 hingga 30 Mei ini,” katanya.
Orang ramai turut digalakkan melaksanakan ibadah korban di 10 rumah sembelihan di negeri ini. Tujuh daripada rumah sembelihan itu dikendalikan JPV, manakala baki tiga buah oleh pihak swasta.
“Setiap rumah sembelihan berupaya menyembelihan maksimum 25 ekor haiwan ternakan sehari,” katanya.














