TANAH MERAH – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz tidak akan mengemukakan rayuan selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung keahliannya selama dua penggal bermula 8 Mei lalu.
Ikmal Hisyam berkata, keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin parti itu diterima dengan hati terbuka tanpa sebarang penyesalan selepas didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Bersatu.
“Saya tidak akan membuat sebarang rayuan terhadap hukuman yang dikenakan kerana kesalahan yang dilakukan juga boleh dipersoalkan.
“Apa salah saya menghadiri program yang dianjurkan oleh individu yang telah digantung dan dipecat parti? Sedangkan ia sebagai tanda simpati kepada sahabat seperjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ikmal Hisyam memberitahu, beliau menerima Notis Tunjuk Sebab bertarikh 29 April lalu susulan aduan diterima Lembaga Disiplin pada 20 April.
Katanya, dakwaan terhadapnya termasuk menghadiri program politik yang dianjurkan individu yang telah digantung dan dipecat parti selain hadir ke Program Aidilfitri ‘Reset Malaysia’ pada 10 April lalu.
Ikmal Hisham mendakwa tindakan tersebut mempunyai niat untuk menghalangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16.
Katanya, kedudukan beliau sebagai calon pilihan raya tidak ditentukan oleh Bersatu sebaliknya rakyat di kawasan Parlimen Tanah Merah.
“Saya akan tetap bertanding jika rakyat Tanah Merah terus menyokong saya walaupun bukan lagi di bawah payung Bersatu.
“Saya juga akan terus bersuara atas nama Perikatan Nasional memandangkan masih kekal sebagai Ahli Parlimen gabungan tersebut dan bertanding menggunakan lambang Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Bersatu memecat keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri di Kedah iaitu Suka Menanti, Datuk Zawahir Shaari dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, Bersatu turut menggantung keahlian lima Ahli Parlimen kerana didakwa melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan ahli. – KOSMO! ONLINE














