JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sedia melupakan kekecewaan tewas kepada Buriram United dengan berpesta menjulang trofi Liga Super pada aksi terakhir menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.
Sebagai rekod, perlawanan tersebut sepatutnya dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammah IV, Kota Bharu sebelum Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memindahkan aksi ke SSI selepas menerima permohonan daripada Kelantan TRW.
Selain mahu menutup tirai Liga Super dengan nada positif, skuad Harimau Selatan juga mahu teruskan momentum untuk kekal tanpa tewas sekali gus menyamai rekod dunia yang dipegang kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas.
ASEC Mimosas memegang rekod dunia bagi perlawanan domestik dengan merekodkan 108 perlawanan tanpa tewas dari 1989 hingga 1994 liga sebelum akhirnya tewas kepada SO Armee.
Buat masa ini, skuad JDT yang dikendalikan Xisco Munoz meraih rekod 107 perlawanan tanpa kalah dalam liga sejak April 2021 selepas kali terakhir tewas kepada Terengganu FC di laman sendiri pada 2021.
Bagaimanapun, Munoz dijangka merombak kesebelasan utama pada aksi bertemu Kelantan TRW kerana bakal mengharungi aksi separuh akhir kedua Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menentang Buriram di tempat lawan, Rabu ini.
“Kita akan melakukan analisa untuk perbaiki kelemahan pasukan selain fikir cara bagaimana untuk buat persiapan terbaik sebelum aksi separuh akhir kedua nanti,” kata Munoz.
JDT telah mempamerkan prestasi dalam kelas tersendiri apabila meraih gelaran liga buat kali ke-12 berturut-turut selepas mengutip 67 mata, musim ini.














