PETALING JAYA – Anak kepada pemandu van yang didakwa melanggar murid tahun dua, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon dekat Parit Sulong, Johor hingga maut Selasa lalu, memaklumkan wang ikat jamin berjumlah RM5,000 bagi bapanya telah pun dijelaskan oleh syarikat tempat lelaki itu bekerja.
Menerusi satu hantaran di media sosial, anak Nordin Ithnin dikenali sebagai Hafiz berkata, terdapat kekeliruan berhubung kutipan sumbangan yang dibuat rakannya bagi membantu meringankan beban keluarga mereka.
Menurut Hafiz, pemilik akaun @Syhmirzli21 yang membuat hantaran berkaitan bantuan tersebut merupakan sahabatnya yang bertindak membantu tanpa pengetahuannya.
“Assalamualaikum semua, saya Hafiz anak Pak Cik Nordin. Pemilik akaun ini sahabat saya, dia bantu di luar pengetahuan saya. Khilaf saya terlupa bagi butiran tentang pembayaran ikat jamin itu. Ikat jamin sudah dibayar oleh syarikat ayah,” katanya dalam satu hantaran di Threads hari ini.
Dalam pada itu, Hafiz turut menegaskan akaun tersebut merupakan satu-satunya akaun rasmi yang dikendalikan rakannya bagi tujuan pengumpulan sumbangan.
Katanya, sebarang sumbangan yang diterima akan diserahkan kepada bapanya sebagai amanah daripada orang ramai.
“Saya akan serahkan amanah awak semua kepada ayah saya. Sumbangan ini atas inisiatif sahabat-sahabat saya untuk mengurangkan beban ayah saya. Saya amat menghargai bantuan semua terhadap ayah saya,” ujarnya.
Sebelum itu, seorang individu dipercayai rakan Hafiz menggunakan akaun media sosial @Syhmirzli21 memuat naik hantaran meminta pandangan netizen sama ada wajar membuka tabung bantuan buat keluarga tersebut.
Menurut individu berkenaan, Nordin, 61, yang bekerja sebagai pemandu van hanya menerima gaji sekitar RM1,800 sebulan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemampuan membayar wang ikat jamin.
“Dah lah gaji ayah kawan aku RM1,800. Terduduk dia nak bayar. Aku dilema sekarang nak buka tabung ke tak. Seorang RM1, satu view 5,000 cukup RM5,000 kan?” katanya.
Rakan tersebut turut berkongsi bahawa Hafiz merupakan kenalannya sejak tahun 2016 dan menyifatkan lelaki itu sebagai seorang individu baik serta mengutamakan keluarga.
Semalam, Nordin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, pada Selasa lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan lesen digantung dari tarikh dituduh.
Kes bakal disebut semula pada 25 Jun depan. – KOSMO! ONLINE














