BATU GAJAH – Tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dapat menyesuaikan diri di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun selain dilaporkan berada dalam situasi yang stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada pakar haiwan, ketiga-tiga gajah itu dapat menyesuaikan diri di Zoo Tennoji.
Katanya, beliau memahami keresahan rakyat negara ini berkenaan situasi keadaan ketiga-tiga mamalia ekoran perjanjian konservasi melibatkan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) selama 25 tahun.
“Saya jumpa perdana menteri pun ditegaskan isu kebajikan tiga ekor gajah sebab sekarang punya tuntutan hendak bawa balik tetapi kita pun ambil pandangan pakar kalau bawa balik bukan boleh selesai macam itu.
“Bawak balik lagi tertekan dia (ketiga-tiga gajah itu) dan daripada laporan (diterima) haiwan tersebut dapat menyesuaikan diri dengan baik jadi pakar yang berkaitan ada sebut buat masa ini paling sesuai kita bagi masa,” katanya pada Majlis Santai-Santai Hari Terbuka Ardea di Taman Tasik Ardea, Sungai Terap di Batu Gajah hari ini.
Katanya lagi, perjanjian itu tidak melibatkan sebarang keuntungan dan sebagai usaha konservasi bagi memastikan haiwan tersebut dapat terus membiak serta populasinya bertambah.
“Tiga ekor gajah itu kekal milik Zoo Taiping dengan perjanjian selama 25 tahun tetapi sekiranya proses pembiakan tanpa paksaan berjaya anak pertama, ketiga dan kelima milik Zoo Tennoji sementara anak kedua, keempat dan keenam milik Zoo Taiping,” katanya. – KOSMO! ONLINE














