PETALING JAYA – Trend membeli minuman manis yang semakin menjadi rutin harian dalam kalangan masyarakat dibimbangi mampu mencetuskan pelbagai masalah kesihatan kronik termasuk diabetes, obesiti dan penyakit buah pinggang pada masa hadapan.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook menegur budaya pengambilan minuman bergula yang kini dilihat semakin normal dan sukar dipisahkan daripada gaya hidup harian.
Menurut PHM, lambakan kedai minuman manis yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai jenis minuman pada bila-bila masa.
“Dalam satu deretan kedai sahaja kadangkala boleh jumpa pelbagai jenama seperti kopi, bubble tea, matcha, frappe dan minuman susu berperisa.
“Dulu minuman manis diambil sekali-sekala, tetapi sekarang sudah jadi rutin harian,” katanya.
PHM berkata, senario biasa yang berlaku adalah individu memulakan hari dengan kopi susu, diikuti minuman ‘matcha’ pada tengah hari, ‘bubble tea’ dikala petang dan ‘frappe’ di sebelah malam.
Jelasnya, isu sebenar bukan terletak pada sesuatu jenama atau jenis minuman tertentu, sebaliknya tabiat menjadikan minuman manis sebagai air wajib setiap hari.
“Masalah timbul apabila minuman manis bukan lagi dianggap ganjaran sekali-sekala, sebaliknya menjadi keperluan harian atau bentuk ‘self reward’,” ujarnya.
Menurut PHM, ketika ini masyarakat mungkin hanya melihat barisan panjang pelanggan di hadapan premis minuman, namun dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, sebahagian daripada mereka mungkin pula menjadi pesakit tetap di klinik.
Katanya, antara penyakit yang berisiko dihadapi termasuk tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi dan obesiti.
“Dalam tempoh 30 hingga 40 tahun lagi, ada yang mungkin mula mengenali mesin dialisis akibat komplikasi penyakit kronik,” katanya.
PHM turut mengingatkan Malaysia ketika ini sudah berdepan cabaran besar dalam isu kesihatan awam membabitkan diabetes dan obesiti.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 15.6 peratus orang dewasa di negara ini menghidap diabetes, manakala 54.4 peratus berada dalam kategori berlebihan berat badan atau obes.
Tambahnya, diabetes juga dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kegagalan buah pinggang tahap akhir yang memerlukan rawatan dialisis. – KOSMO! ONLINE














