PETALING JAYA – Pempengaruh kesihatan, Tareq Fit mendedahkan pernah berdepan masalah ekzema yang teruk sehingga menyebabkan jari tangannya berdarah sebelum pulih selepas mengamalkan gaya hidup sihat dan berhenti merokok.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Tareq berkata, dia sebelum ini sudah mencuba pelbagai jenis ubat dan losen, namun masalah kulit dihadapinya tetap tidak menunjukkan perubahan.
“Dulu Tareq ada eczema, memang teruk. Selalu berdarah dekat jari tangan. Dah cuba macam-macam ubat dan lotion, tapi tak jadi juga.
“Sampai orang selalu tanya apa jadi dekat tangan ni sebab nampak pelik. Subhanallah, rahsia perubahan tu sebenarnya pada gaya hidup sihat dan berhenti merokok,” katanya.
Menurutnya, orang ramai perlu kembali kepada fitrah dengan menjaga pemakanan, mendapatkan tidur mencukupi dan melakukan senaman secara konsisten.
Katanya, masyarakat juga tidak seharusnya terlalu bergantung kepada ubat atau suplemen semata-mata untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat.
“Badan kita sebenarnya perlukan gaya hidup sihat. Orang dulu jarang dapat penyakit sebab mereka hidup lebih dekat dengan fitrah semula jadi,” ujarnya.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian netizen yang berkongsi pengalaman masing-masing berdepan masalah kesihatan dipercayai berpunca daripada pemakanan tidak sihat.
Seorang pengguna Facebook, Fudheel Janal berkata, dia pernah mengalami serangan penyakit tiroid ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kerap mengambil makanan ringan dan makanan ultra proses.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada ubat serta mendapatkan rawatan berkala di hospital sebelum mengambil keputusan mengubah corak pemakanan.
“Alhamdulillah, sekarang penyakit itu dah hilang dan saya tak perlu lagi bergantung pada ubat. Saya lebih fokus kepada makanan asli dan kurangkan makanan proses,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi netizen, Haizad Morrain mendakwa masalah autoimun psoriasis dihadapinya sejak usia muda semakin pulih selepas berhenti mengambil gula dan tepung.
Katanya, perubahan gaya hidup itu juga membantu menurunkan berat badannya daripada 105 kilogram kepada 72 kilogram dalam tempoh empat bulan.
“Macam-macam pakar saya jumpa sebelum ini. Akhirnya bila stop gula dan tepung, kulit kembali normal. Alhamdulillah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














